Kaji untuk tambah baik, bukan undur – TG Nik Aziz

KUALA LUMPUR: PAS wajib melangkah ke hadapan untuk terus relevan di pentas politik negara dengan memahami suasana politik dan mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia,” kata Musyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sehubungan itu, beliau menasihati para pemimpin PAS supaya jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang dicipta sendiri dan bersedia menjalinkan kerjasama politik selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat.

Dalam satu entri di laman facebook beliau bagi mengulas resolusi yang diputuskan Multaqa Ulamak PAS di Alor Setar semalam, beliau menegaskan kerjasama politik PAS dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu malah adalah keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

“Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non-Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno.

“Umno bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka,” tegas beliau.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat.

Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno. Umno bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Senjata Umno ialah perkauman, lambang Umno ialah keris tidak bersarung, politik Umno ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non-Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik Umno yang penuh dengan habuk kebangsaan.

Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.

Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur.

Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim.

Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.

Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam. Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang. Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan.

Sekian.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am PAS
9 Zulkaedah 1434H bersamaan 15 September 2013M

Majlis Syura PAS nafi ramai calon digugurkan

BESUT: Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menafikan laporan akbar Sinar Harian 20 Februali lalu yang memetik beliau sebagai berkata ‘ramai calon PAS digugurkan’ pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti .

Menurut Nik Zawawi, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu kepada akhbar bahasa Melayu itu dan beranggapan kenyataan beliau telah disalah petik oleh akhbar itu.

“Saya menafikan ramai calon PAS digugurkan bertanding pada pilihan raya (PRU13) kali ini. Saya ulangi tidak timbul sama sekali ramai calon PAS digugurkan kerana mereka (calon) telah menepati syarat di peringkat kawasan lagi.

“Cuma laporan akhbar Sinar Harian itu…saya hendak menafikan sama sekali dan saya tidak pernah sebut istilah sebegitu (ramai calon PAS digugurkan),” katranya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Himpunan Semarak Hijau ke Putrajaya Muslimat PAS Terengganu dengan tema “Satu Misi, Satu Energi, Satu Hati” di Dewan Haji Salleh, Kampung Alor Lintah, Besut, hari ini.

Sinar Harian pada 20 Februari lalu meletakkan tajuk ‘Ramai calon PAS Gugur’ di muka hadapan akhbar itu.

Akhbar itu memetik Nik Zawawi sebagai berkata, Majlis Syura Ulama’ PAS terpaksa menggugurkan ramai calon yang disenaraikan oleh pimpinan parti itu untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang atas beberapa sebab.

Antara sebab utama petik akhbar itu ialah mereka yang berkenaan didapati tidak menepati syarat ketat ditetapkan parti termasuk kemungkinan akan melompat parti setelah dipilih sebagai wakil rakyat.

Mengulas lanjut Nik Zawawi berkata tidak timbul sama sekali isu ramai calon PAS ‘digugurkan’ dalam pilihan raya kali ini.

Ini kerana, katanya senarai nama-nama calon berkenaan yang dihantar oleh kawasan telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Majlis Syura Ulama’.

“Senarai calon-calon yang dihantar oleh setiap kawasan masing-masing, Alhamdulillah, di peringkat kawasan telah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama’ PAS,” jelasnya.

Menurutnya, dalam soal pemilihan calon tidak sama antara PAS dengan Barisan Nasional kerana parti Umno tidak meletakkan syarat-syarat tersebut.

“Kita (PAS) tentukan syarat-syarat hendak jadi calon mengikut ciri-ciri kepimpinan Islam, istiqamah dalam perjuangan (Islam), bakal calon tidak melakukan dosa besar dan tidak meneruskan dosa-dosa kecil.

“Kita tidak sebagaimana Umno yang tidak ada syarat untuk dipilih jadi calon, tetapi PAS ada syarat-syaratnya. Sebab itu, calon Umno-BN tidak bersih dan calon PAS bersih sebab kita (PAS) letak syarat untuk jadi calon dan calon PAS menepati syarat Majlis Syura Ulama’,” tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu menjelaskan penapisan yang dilakukan oleh Majlis Syura Ulama’, tidak ada calon-calon PAS digugurkan kerana melanggar syarat tersebut.

“Setakat ini, boleh saya sebut calon-calon PRU13 telah hampir selesai 99 peratus dan masalah teknikal calon akan berlaku sehingga hari penamaan calon dan mungkin ada penukaran calon dan sebagainya. Tapi senarai yang dikemukakan kepada Majlis Syura Ulama’ telah selesai 100 peratus,” ujarnya.

Katanya, dalam PAS ini telah jadi budaya dan ahli-ahli faham bahawa untuk menjadi calon mesti bersih serta memenuhi syarat-syarat Majlis Syura Ulama’ PAS.

Pada perhimpunan tersebut seramai hampir 1000 orang petugas dan jentera parti Dewan Muslimat PAS dari seluruh kawasan hadir bagi menjayakan program berkenaan.

Antara pimpinan muslimat yang hadir Ketua Muslimat PAS Pusat, Hajah Siti Zailah Mohd Yusof, Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Muslimat Pas Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang Kelantan, Wan Ubaidah Omar dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Safinah Jusoh.

Harakahdaily.net

Keputusan Majlis Syura tepati realiti semasa – Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR: Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan keputusan Majlis Syura berhubung dengan nama Allah baru-baru ini adalah paling tepat (arjah) untuk masa dan realiti setempat di Malaysia.

“Bagi saya keputusan Majlis Syura itu adalah paling wajar dalam isu ini,” kata beliau yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor.

Menurut beliau, keputusan itu telah memperkukuhkan pandangan yang telah diberikan oleh Presiden dan juga Mursyidul Am PAS sebelum ini.

“Bagi saya, keputusan ini jame’ dan mani’ (sempurna dan tepat), tidak memberat-berat (la ifradh) dan tidak meringan-ringan (la tafridh) dalam mahfumnya dalam mengambil kemaslahatan dakwah secara menyeluruh,” tegas Dr Dzulkefly Ahmad yang juga AJK PAS Pusat.

Majlis Syura Ulamak PAS baru-baru ini membuat keputusan, nama Allah boleh digunakan oleh bukan Islam tetapi tidak bersetuju nama Allah menjadi terjemahan kepada perkataan God dalam Bible kerana ia tidak tepat, mengelirukan dan boleh membawa kepada silap faham.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataan bertulisnya berkata, orang bukan Islam boleh menggunakan nama Allah tetapi jangan disalahgunakan.

Namun ia tidak dihurai secara terperinci apa maksud jangan disalahgunakan itu.

Majlis Syura Ulamak PAS pula memutuskan dan mengulangi penegasan bahawa sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah secara ‘hukum asal’ dari nas-nas Al-Quran sendiri (Fiqh Nusus).

Bagi Dr Dzulkefly, ia berbeza dengan Mufti Umno yang mengeluarkan kenyataan, boleh menjadi kafir dan murtad jika benarkan orang bukan Islam guna nama Allah.

Ini berlawanan dengan pendirian ulama PAS yang tidak mudah-mudah menjatuhkan hukuman ‘takfir’ mentelahan terdapat banyak nas dari Al-Quran secara qat’iy dan jelas (soreh) ia boleh digunakan.

Utusan melaporkan, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut berkata mereka yang membenarkan penyelewengan penggunaan kalimah Allah boleh jadi murtad dan perlu bertaubat dengan segera.

Katanya, kalimah Allah adalah hak mutlak agama Islam serta mereka yang mengucap dua kalimah syahadah.

Menurut Dr Dzulkefly, ini sangat bertentangan dengan banyak nas termasuk yang diucapkan umat Islam 17 kali sehari dalam Al-Fatihah bahawa Allah ialah Rabb (Tuhan) seluruh Alam yakni makhluk beriman atau tidak, Muslim, Ahli Kitab atau pun Musyrikin dan seluruh semesta alam.

Majlis Syura dalam kenyataannya telah memperjelaskan apa yang dimaksudkan dengan ‘jangan salah guna’ yang dibuat oleh Presiden PAS sebelum ini.

“Majlis Syura telah secara spesifik memperkemaskan penyataan itu dengan menegaskan, nama Allah tidak boleh diterjemahkan dari perkataan God dan wajar dihalang kerana ia mengelirukan dalam suasana waqi’ dan realiti hari ini.

“Ia memperjelaskan apa yang dikatakan ‘jangan disalahgunakan’ oleh Presiden,” kata beliau.

Menurut Dr Dzulkefly, apa yang dilakukan oleh Majlis Syura, setelah jelas hukum asal perkara ini, adalah satu ijtihad berdasarkan keperluan masa dan waqi’ (persekitaran) kini.

Ia pula sesuai dengan peranannya dalam ruang lingkup ‘Siyasah Syariah’ dan hal urus-tadbir keagamaan, mengambil pelbagai Qawaid Fiqiyyah seumpama Sadda Zari’ah (Menutup pintu-pintu kemudharatan dalam menjaga Maqasid Syara’ seperti Hifzul Deen).

“Inilah siasah syariyyah yang dilaksanakan oleh Majlis Syura. Ijtihad ini bagi saya tepat, wajar dengan masa dan suasana sekarang tambahan wujud pelbagai dakwaan pelbagai kelompok sehingga menimbulkan keresahan dan pertentangan antara agama.

“Sesuai dengan sifat ijtihad itu, ia boleh berubah apabila masa dan suasana berubah, seperti juga wujudnya Qaul Qadim (ijtihad lama) dan Qaul Jadid (ijtihad baru) dalam Mazhab Syafie,” katanya.

“20 tahun lagi, setelah pencerahan minda dan kebangunan ummat dapat kita usahakan, mungkin sahaja ijtihad ini akan berubah, Allahu ‘Alam,” katanya.

“Yang penting bagi saya jangan sampai kalimah Allah sahaja yang kita pertahankan sementara syariat Allah kita kesampingkan,” katanya berseloroh bercampur sinis.

Harakahdaily.net

Haron Din kata PAS tidak tersasar daripada perjuangkan Islam

KOTA BARU, 16 Nov — PAS hari ini menegaskan bahawa parti itu tidak pernah terkeluar daripada landasan dan dasar parti dalam menegak dan memperjuangkan Islam.

Timbalan Mursyidul Am parti Islam berkenaan, Datuk Dr Haron Din, berkata, dasar berkenaan tidak pernah berubah walaupun parti komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) itu menjalinkan kerjasama politik dengan rakan sekutu mereka yang lain seperti DAP dan PKR.

“Majlis Syura sentiasa berbincang dan melihat hala tuju PAS bahawa parti ini berada dalam landasan yang betul,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 di sini.

Haron berkata demikian ketika menjawab soalan perwakilan Kalabakan, Kasman Karate berhubung terdapatnya kenyataan ahli Majlis Syura sendiri berkaitan hala tuju parti itu yang didakwa sudah menyimpang.

Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa baru-baru ini mendakwa perjuangan parti itu sudah tergelincir daripada matlamat asal perjuangannya sejak ia ditubuhkan.

Haron turut berkata, melalui perbincangan dua bulan sekali yang dianjurkan Majlis Syura, mereka akan memperhalusi dengan teliti setiap isu yang dibangkitkan sehingga semua ahlinya berpuas hati dan bersetuju dengan keputusan yang dibuat.

Bagaimanapun beliau turut melahirkan rasa hairan berhubung kenyataan pemimpin tertentu berkaitan hala tuju PAS.

“Dalam mesyuarat seperti tiadanya pertelingkahan tapi dalam sidang media ada terdengar suara-suara yang seolah-olah tak setuju dengan keputusan Majlis Syura.

“Tetapi orang-orang seperti ini tak pernah beri pandangan begitu dalam mesyuarat tapi di luar mesyuarat perkara itu timbul.

“Pandangan peribadi kadang-kadang terbawa di luar mesyuarat dan mungkin ada sedikit perbezaan pendapat yang tidak perlu diperbesar,” katanya lagi.

Muktamar tahunan PAS hari ini menyaksikan ucapan dasar daripada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan seterusnya ucapan perbahasan daripada 1,116 perwakilan daripada 186 bahagian daripada seluruh negara.

Turut hadir muktamar kali ini adalah Dewan Himpunan Penyokong PAS yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Muktamar hari ini ditunda pada jam 6.00 petang dan akan disambung dengan perbahasan perwakilan jam 8.00 pagi esok.

TMI

Semua nama calon PAS sudah disahkan

Sidang media selepas majlis perasmian muktamar

PENGKALAN CHEPA: Majlis Syura Ulama PAS sudah meluluskan semua nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, senarai nama tersebut sudah diteliti dan Majlis Syura Ulama sudah menapis nama-nama yang layak.

“Semua nama calon mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulama.

“Semua nama sudah diserah kepada pusat dan Majlis Syura sudah luluskan nama-nama yang layak bertanding, dan yang layak digugurkan,” kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan PAS, di Putik hari ini.

Beliau turut menegaskan, PAS menekankan calon boleh menang, termasuk calon muslimat.

“Semua nama diluluskan Majlis Syura Ulama tapi untuk menentukan dia bertanding, kena lihat kepada akar umbi.

“Kita bukan sahaja nak letak calon tapi mahu calon boleh menang,” katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Sementara itu, Ustaz Hadi menegaskan calon hanya akan diumumkan selepas tarikh pilihan raya diketahui.

“Kebiasaannya PAS umum calon bila tahu tarikh pilihan raya, lepas itu kita tetapkan hari, sehari atau dua hari sebelum penamaan calon.

“Jadi kita minta PM umum awal pilihan raya supaya kita boleh umum calon,” katanya.

Muktamar tahunan PAS kali ke-58 ini dihadiri 1116 perwakilan daripada 183 kawasan.

Harakahdaily.net

Calon: PAS Pusat yakin budi bicara negeri

POKOK SENA: PAS Pusat menyerahkan kepada budi bicara PAS negeri-negeri untuk menapis senarai calon layak bertanding untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) berkata setelah senarai yang dihantar mendapat persetujuan Pusat, negeri akan menilai semula calon berkenaan sebelum memuktamadkan keputusan.

“Calon import atau tempatan, tunggu sahaja nama calon itu diumumkan kelak,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas Majlis Konvokesyen ke-11 Kolej Islam Darul Ulum (Kidu), di sini baru-baru ini.

Turut hadir sama di sidang media itu ialah Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, Speaker DUN Datuk Dr Isa dan Bekas Menteri Pelancongan Tan Sri Kadir Syeikh Fadhil.

Ustaz Hadi berkata, senarai akhir menjelang PRU-13 kelak akan diputuskan atas pertimbangan PAS negeri.

“Sebelum ini PAS Kedah sudah hantar beberapa nama untuk satu-satu kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Majlis Syura sudah luluskan.

“Ada tiga empat nama bagi setiap Dun, kita serah pada budi bicara PAS Kedah, mereka hantar ke pusat dan pusat buat pertimbangan… seterusnya senarai itu kembali ke negeri dan terserah pada kebijaksanaan negeri masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Ustaz Azizan yang juga Menteri Besar Kedah berkata, keutamaan tetap diberikan kepada calon tempatan, memandangkan parti itu mempunyai ramai calon berpotensi.

Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan mengetengahkan calon luar Kedah dan mendapat persetujuan pusat, kerana keutamaan ialah untuk mendapat kemenangan bagi PAS dalam PRU-13 itu.

Harakahdaily.net

Israel: Anwar tarik balik kenyataan atau saman WSJ

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya mengenai Israel seperti dilaporkan di Wall Street Journal (WSJ) atau menyaman majalah itu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan membuat gesaan itu dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS.

“Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau,” ujarnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan malam ini.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Negara haram Israel diwujudkan oleh kuasa besar dunia secara zalim tanpa sifat perikemanusiaan dan sepatutnya ditentang oleh semua peradaban manusia. Wajib ke atas umat Islam bukan sahaja di bumi Palestin malah seluruh dunia, berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Palestin sepenuhnya. Adalah haram menerima kewujudan negara yang haram. Maka PAS menolak penyelesaian dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel untuk Yahudi Zionis.

Keselamatan negara haram Israel juga bukanlah menjadi tanggungjawab yang dipikul oleh orang Arab atau umat Islam, kerana ditegakkan negara haram itu sendiri di atas dasar kezaliman. Islam sebagai agama yang sangat mementingkan hak asasi, keadilan, keharmonian dan hubungan baik antarabangsa, tentu sekali tidak dapat berkompromi dalam isu kezaliman ini.

Saya, selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama PAS, menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal. Sekiranya kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka saya dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Wall Street Journal bagi membersihkan nama beliau.

Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
13 Februari 2012/ 20 Rabiul Awwal 1433H

PAS melencong perjuangan asal?

Datuk, akhir-akhir ini selalu sangat orang memperkatakan bahawa PAS telah melencong daripada perjuangan asalnya. PAS didakwa meninggalkan Islam dan telah tidak lagi memperjuangkan Negara Islam dan berubah kepada Negara Berkebajikan. Ini tidak pernah disebut oleh pemimpin PAS terdahulu. Saya keliru kerana diulang-ulang dan disebut oleh media masa, sedangkan yang menyanggahnya jarang kedengaran. Apa pandangan dan nasihat Datuk kepada orang-orang seperti saya supaya teguh berdiri bersama PAS? Terima kasih Datuk.

Penyokong PAS Tegar, Dungun, Terengganu.

PIHAK yang memperkatakan kononnya PAS telah melencong dan terbabas dari perjuangan asalnya, dengan meninggalkan Islam dan berbagai-bagai lagi, adalah dakwaan media massa yang memusuhi perjuangan PAS.Tugas utama mereka adalah untuk mempromosikan parti pemerintah dan memburuk-burukkan lawannya terutama PAS. Dengan apa mereka hendak memburuk-burukkan PAS?

Itulah kerja media yang tidak senang dengan PAS. Selagi PAS teguh memperjuangan Islam, selama itulah Umno-Barisan Nasional tergugat dan akhir-akhir ini semakin tergugat. Oleh kerana itu mereka berusaha melemahkan PAS dengan apa cara pun.

Sebenarnya PAS tidak melencong atau menyeleweng dan jauh sekali daripada berubah dari Islam kepada yang tidak Islam. Mana mungkin PAS hendak berubah kepada yang tidak Islam.

Bukti yang paling nyata, Perlembagaan PAS yang ada sekarang, jelas tidak ada sebarang perubahan dan tidak pernah ada cadangan untuk berubah.

Perlembagaan PAS, Fasal 1, nama pertubuhan disebut Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Pada Perlembagaan PAS, Fasal 3, tujuan PAS ialah:

(i) Memperjuangkan wujudnya dalam negara ini, sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.

Di dalam PAS ada Majlis Syura Ulama, yang di antara tugas utamanya, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan PAS, Fasal 7 (B):

“Mengeluarkan arahan dan perintah, supaya dasar dan ketetapan itu, dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasi serta memelihara, supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak di dalam Perlembagaan ini dipatuhi dalam kegiatan gerakan dan pentadbiran PAS.”

Semua yang saya nyatakan berjalan lancar dan berada dalam keadaan baik, tanpa berlaku penyelewengan dan kelencongan.

Pihak yang menyatakan PAS sudah melencong dan berubah dasar perjuangannya, meninggalkan Islam dan Negara Islam dan bermacam-macam lagi, adalah suatu fitnah jahat yang semata-mata bertujuan memburuk-burukkan pejuang-pejuang Islam, yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam, sepanjang zaman.

PAS tidak berubah dan tidak pernah mengubah dasar-dasar utama perjuangannya. Taktik dan strategi boleh berubah mengikut keperluan.

Apa yang disebut Negara Berkebajikan menggantikan Negara Islam, itu sebenarnya istilah. Maknanya sama dan tidak berubah.

Malah menamakan Negara Islam dengan nama Negara Berkebajikan, tidak bercanggah dengan Islam.

Di dalamn al-Quranul karim tidak terdapat istilah Negara Islam secara jelas dan terang. Yang ada seiras dengannya adalah istilah ‘Baldatun Tayyibah’ sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Sesungguhnya adalah bagi penduduk negeri Saba’, ada suatu tanda kemurahan Allah yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua bidang kebun yang luas lagi subur yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Lalu dikatakan kepada mereka itu, makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya dan negeri kamu itu adalah negeri yang Tayyibah (Baik atau berkebajikan) dan Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun.” (Surah Saba’ ayat 15)

Ketika Presiden PAS membentangkan istilah Negara Berkebajikan dalam muktamar yang lepas (Jun 2011), tidak ada sesiapa pun yang meragui istilah itu dan tiada sesiapa pun yang mempersoalkannya di dalam muktamar.

Biasanya, jika ada sesuatu yang tidak kena, ahli dalam muktamar PAS akan menimbulkan berbagai pandangan, teguran dan bangkangan. Yang ternyata muktamar telah menerima.

Apabila ini berlaku, maka ianya adalah sesuatu selaras dengan perjuangan PAS.Penyebar-penyebar fitnah ke atas pejuangpejuang Islam, bukan perkara baru, malah sejak dari zaman sahabat Rasulullah s.a.w, yang memperjuangkan Islam pada waktu itu, musuh-musuh Islam dari kalangan musyrikin dan munafikin, telah menyebar fitnah yang lebih besar.

Antaranya dahulu, mereka menyatakan, ‘Muhammad adalah ahli sihir, dia gila, pembawa cerita dongeng, pemecah perpaduan umat Arab, dia menyembah berhala (Kaabah).’ Berbagai-bagai lagi fitnah dilemparkan terhadap Nabi s.a.w dan para sahabat baginda.

Oleh yang demikian, anda tidak harus mengendahkan media-media musuh Islam yang memang itu kerja mereka.

PAS sekarang, tetap PAS seperti dahulu, tetap memperjuangkan Islam yang syumul, tanpa menghiraukan kata-kata orang menentang.

Berpandulah kepada hadis Rasulullah s.a.w (mafhumnya): “Akan sentiasa wujud di kalangan umatku segolongan orang-orang yang memperjuangkan Islam yang sebenar, tanpa menghirau celaan orang yang suka mencela, sehingga kemenangan yang nyata, berhasil pada akhirnya.” Wallahua’lam.

Artikel di atas dipetik daripada ruangan Bersama Dato’ Haron Din yang disiarkan akhbar Harakah Bil. 1704 (8-11 Safar 1433/2-5 Januari 2012)

Esok akan berlaku perkara yang mematikan semua spekulasi

Esok akan ada satu Majlis yang akan menghentikan semua spekulasi-spekulasi jahat golongan Parasit di dalam PAS.

Program yang baik ini telah dihalang dengan sedaya upaya mungkin oleh golongan parasit supaya tidak berjaya.

Semua kita doakan semoga ia berjaya Insya’allah.

Saya telah berhenti menulis artikel untuk mendedahkan isu-isu kekeliruan di dalam parti setelah menerima email dari seorang ustaz dari majlis syura yang meminta tolong saya berbuat demikian. Antara isi kandungan email tersebut ialah: “Kalau boleh enta tolong hentikan sebab kebanyakan orang menuduh yang memberikan maklumat itu adalah saya”.

Justeru menghormati permintaannya dan menjaga kedudukannya takut2 dituduh kerana tuduhan-tuduhan jahat golongan parasit di dalam jemaah ini cukup berleluasa setelah mereka menguasai banyak kerusi.

Dari sumber dalaman, saya mendapat maklumat bahawa esok (27 Disember 2011) akan ada satu peristiwa penting yang akan menamatkan semua spekulasi-spekulasi tidak berasas golongan parasit terhadap musuh-musuh mereka dikalangan pendokong PAS. “Musuh mereka” yang saya maksudkan ialah, sesiapa sahaja yang boleh dianggap penghalang kepada agenda JIM seperti Dr. Hassan Ali, Ustaz Nasharuddin dan lain-lain yang saya gariskan di bawah:

  1. Tuan Guru Dato’ Dr. Harun Din.
  2. Tuan Guru Dato’ presiden.
  3. YAB Dato’ Azizan.
  4. dan lain-lain.

Tetapi tiga di atas adalah antara target utama mereka. Insya’allah, nanti saya akan dedahkan satu-satu.

Oleh: SelamatkanPas

Jangan guna media musuh – Nik Aziz

KOTA BHARU, 22 Dis: “Saya juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu itu menyeru supaya perselisihan pandangan diselesaikan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh.

“Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa.

“Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya Allah,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons berkaitan dengan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat malam semalam yang memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyokong sepenuhnya keputusan itu dan menganggap ia sebagai satu langkah yang terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Selaku Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak,” tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Justeru, jelasnya dakwaan yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal PAS adalah merupakan dakwaan yang tidak berasas.

“Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Datuk Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan,” ujarnya.

Dalam hal ini, katanya negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS itu.

Harakahdaily.net