Projek lembu: PKR tuntut k’jaan dedah kertas kabinet

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli hari ini menuntut kerajaan supaya mendedahkan kertas mesyuarat jemaah menteri berhubung keputusan kerajaan menganugerahkan projek lembu fidlot kontroversi kepada keluarga menteri pembangunan wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Rafizi berkata, perkara itu perlu dijelaskan untuk memastikan sejauh mana penglibatan Shahrizat dalam proses menganugerahkan projek berkenaan kepada syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang diketuai sumai menteri berkenaan, Datuk Seri Mohammad Salleh Ismail.

“Dalam kes ini ada terlalu banyak proses buat keputusan di peringkat kabinet, di peringkat kementerian pertanian.

“Keputusan dibuat antara tahun 2006 hingga 2008 termasuk juga pinjaman RM250 juta, semua ini melibatkan kertas kabinet.

“Jadi soalan kami, berapa luaskan penglibatan Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam proses membuat keputusan itu?,” soalnya dalam sidang media di ibu pejabat PKR petang ini.

Katanya lagi, langkah kerajaan untuk mendedahkan kertas berkenaan merupakan satu permulaan baik, apatah lagi apabila Mohamad Salleh sendiri, selaku pengerusi eksekutif NFC, mengakui bahawa pinjaman berkenaan diluluskan tanpa sebarang jadual pinjaman.

Satu unsur rasuah

Rafizi berkata demikian ketika mengulas penjelasan yang diberikan Mohamad Salleh berhubung jumlah kerugian yang ditanggung syarikat berkenaan sebelum ini, seperti dilaporkan akhbar Berita Harian hari ini.

Dalam penjelasannya, Mohamad Salleh berkata, dakwaan bahawa kerajaan melupuskan pinjaman berkenaan kerana kerugian yang dialami NFC merupakan “rumusan tidak matang.”

Sebaliknya, Mohamad Salleh berkata perjanjian pinjaman berkenaan tidak menyatakan jadual pembayaran balik, dan syarikat itu pula masih dibenarkan membuat bayaran balik dalam tempoh tertentu.

Maka, NFC tidak melanggar perjanjian pinjaman berkenaan, kata Mohamad Salleh lagi seperti dilaporkan.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata pengakuan Mohamad Salleh bahawa pinjaman kepada NFC itu dibuat tanpa jadual bayaran balik juga merupakan satu unsur rasuah dan perlu disiasat kerajaan.

Tambahnya, siasatan juga perlu dilakukan ke atas pengakuan Mohamad Salleh bahawa syarikat itu diberikan projek berkenaan walau tidak mempunyai pengalaman untuk menjalankan projek berimpak tinggi itu, seperti dilaporkan akhbar New Straits Times hari ini.

“Kalau proses telus digunakan, syarikat ini tidak dapat projek ini. Dia tidak layak dan tidak ada pengalaman,” kata Rafizi lagi.

Tambahnya, PKR juga akan membuat laporan kepada SPRM, susulan kepada laporan yang dibuat sebelum ini berhubung pembelian kondominium mewah oleh satu lagi syarikat milik keluarga menteri berkenaan.

Malaysiakini

Projek lembu: Shaziman, Zulhasnan nafi terbabit

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Mansor menafikan beliau pernah meminta atau menerima sumbangan lembu bernilai RM5,281 daripada Pusat Fidlot Nasional (PFN) pada 2009 seperti yang didakwa oleh pembangkang, semalam.

Bagaimanapun Berita Harian hari ini memetik Shaziman mengucapkan terima kasih kepada PFN jika benar ia pernah menderma lembu kepada orang miskin di kawasan parlimennya.

“Mungkin ia disampaikan tanpa pengetahuan saya atau saya terlepas pandang, oleh itu saya ucapkan terima kasih,” katanya kepada akhbar milik Umno itu.

Shaziman yang juga ahli parlimen Tampin juga dilaporkan berkata beliau akan meminta penjelasan lanjut berhubung perkara itu daripada setiausaha Umno Bahagian Tampin sebaik beliau kembali dari menunaikan haji.

“Saya mahu tahu sama ada cawangan di bahagian saya (Umno Tampin) ada menerima sumbangan derma lembu daripada PFN.

“Saya tidak pernah menerima sebarang lembu daripada mereka (PFN) dan saya juga tidak pernah meminta lembu daripada mereka,” katanya.

Semalam, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution mendedahkan bahawa skandal projek ternakan lembu itu kini merebak dan turut membabitkan beberapa pemimpin Umno lain.

Antaranya, beliau mendakwa lembu-lembu bernilai RM5,281 disumbangkan kepada Shaziman manakala RM2,640 kepada ADUN yang hanya dikenali sebagai ‘YB Yunus’.

Selain Shaziman dan Yunus, Saifuddin juga mendakwa lembu-lembu bernilai RM70,000 dijual secara kredit kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zulhasnan Rafique .

Berita Harian juga melaporkan Zulhasnan yang juga ahli parlimen Setiawangsa, menjelaskan beliau tidak menerima sumbangan lembu daripada PFN tetapi membelinya dengan membayar RM70,000.

Beliau menolak dakwaan yang mengatakan pembelian lembu itu secara kredit kerana pembayaran dibuat seminggu selepas semua lembu itu dihantar sempena ibadat korban pada Aidiladha 2008 di Parlimen Setiawangsa.

“Memang saya ada beli tetapi bukan secara kredit seperti yang didakwa sebaliknya pembayaran dibuat secara tunai selepas lembu diterima. Tujuan pembelian itu untuk korban dan semua daging diagihkan kepada penduduk Setiawangsa,” katanya dipetik akhbar itu.

Malaysiakini

Cincin RM24j: Rosmah kata tiada masa mahu layan

KUALA LUMPUR, 29 Julai: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Romah Mansor enggan melayan dakwaan beliau membeli cincin berharga lebih RM24 juta sebagaimana yang didedahkan oleh beberapa blogger.

“Tak ada apa yang saya nak cakap (mengenai pembelian cincin lebih RM24 juta) sebab saya tidak ada masa hendak layan perkara seumpama ini. Ikut sedap dia (blogger) saja hendak cakap (tuduh),” kata beliau dipetik Berita Harian hari ini.

“Ini bukan perkara seronok-seronok, ini adalah fitnah . . . apa yang saya tidak rasa? Semua saya sudah rasa (difitnah).

“Justeru, daripada saya layan perkara seumpama ini lebih baik saya beri perhatian kepada hal rakyat kerana itu lebih penting,” katanya kepada pemberita di Pokok Sena, Kedah, semalam.

Dua minggu lalu, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua PKR Rembau itu turut mendesak supaya Rosmah memberi penjelasan sumber wang yang dibelanjakannya untuk membeli cincin tersebut.

Badrul berkata beliau juga akan menyerahkan salinan cetakan dokumen itu dari skrin komputer bagi membuktikan pembelian cincin berharga RM24.4 juta itu bebas daripada dikenakan cukai import.

Beliau yang popular dengan panggilan Chegubard berkata, berdasarkan maklumat yang diterima SAMM pada 16 April lalu, berlian yang dikenali sebagai “Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond” diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Hrakahdaily.net

Keputusan Lelaki Tukar Nama Wanita 18 Julai

KUALA TERENGGANU 26 MEI : Harapan menggunung seorang lelaki untuk menukar nama daripada Mohd Ashraf Hafiz Abd Aziz, 25, kepada Aleesha Farhana tertangguh lagi apabila Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam menetapkan 18 Julai ini untuk keputusan.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu bagi membolehkan beliau meneliti hujah dikemukakan peguam Ashraf selaku pempetisyen, Horley Isaacs dan Peguam Kanan Persekutuan, Adhha Abu Bakar yang mengendalikan kes berkenaan.

Ashraf, pemegang diploma dalam bidang perubatan daripada sebuah institusi pengajian tinggi tempatan lengkap berpakaian seperti wanita dengan berbaju kurung moden berwarna kuning air, berkerudung merah jambu serta berkasut tumit tinggi menarik perhatian ramai yang menyedari kehadirannya di mahkamah semalam.

Laporan Berita Harian hari ini menyebut, Ashraf yang menjalani pembedahan menukar jantina di Thailand antara 2008 hingga 2009 kerana mendakwa lebih cenderung kepada perwatakan wanita memfailkan petisyen memohon mahkamah membenarkannya menukar nama Ashraf kepada Aleesha Farhana, bagi memudahkannya menguruskan kehidupan seharian, selain mahu memasuki universiti melanjutkan pengajian dalam bidang sama.

Dalam prosiding akhir di mahkamah semalam, Horley dalam hujahnya berkata, anak guamnya disahkan pakar perubatan daripada Pusat Perubatan Pantai (PMC) dan Hospital Putrajaya layak menjalani pembedahan menukar jantina, menjalani rawatan hormon serta psikologi sebelum melakukan pembedahan di Thailand.

Malah katanya, kedua ibu bapa pempetisyen turut mengesahkan anak mereka memiliki alat sulit lelaki sejak lahir, tetapi ia tidak normal, bersaiz kecil, tidak aktif dan tidak berfungsi sebaiknya seperti rakan sebaya lain.

Ashraf juga disahkan ibunya lebih cenderung berperwatakan wanita sejak kecil dan membuat kenyataan bersumpah membenarkan anak lelakinya itu menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, Addha dalam hujahan balasnya berkata, peguam pempetisyen gagal melampirkan laporan lengkap daripada doktor bahawa pembedahan dijalankan berjaya menjadikan Ashraf seperti wanita tulen termasuk mempunyai rahim dan tubuh kewanitaan dan fakta apabila perlakuan seksual berlaku antaranya sama ada dia boleh mengandung.

“Kita tidak ada perundangan yang membenarkan permohonan pempetisyen ini dan jika mahkamah membenarkan permohonan ini, ia akan memberi kesan jangka panjang kepada institusi masyarakat.

“Kita tidak tahu mungkin ramai di luar sana yang beratur untuk menukar nama dan jika keputusan mahkamah membenarkan permohonan ini ia boleh menyebabkan huru-hara dalam masyarakat,” katanya dipetik laporan itu.

httpv://www.youtube.com/watch?v=oE2ltUqDD3Q

TVS NEWS