Pakatan Rakyat Komited Mantapkan Hubungan Kaum

KI30Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Thaipusam kepada para penganut agama Hindu di Malaysia khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan. Tahun ini secara tradisinya sambutan ini dibuat di Batu Caves yang dimasukkan sebagai satu daripada 10 ikon pelancongan negeri Selangor.

Sambutan Thaipusam ini adalah satu lagi petunjuk kemajmukan masyarakat Malaysia yang mesti disantuni oleh kita semua. Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat akan terus sedaya upaya menyantuni kepelbagaian ini.

Pelbagai kemudahan awam di pekarangan Kuil Batu Caves dan kawasan sekitarnya disediakan dan ditambah baik mengikut keperluan supaya para penganut Hindu boleh melakukan amalan kepercayaannya dengan selesa dan aman.

Dalam tahun 2010 sahaja sebanyak Kerajaan Negeri telah habis membelanjakan seluruh RM 3 juta untuk membaik pulih serta membiayai upacara sembahyang. Kebanyakan peruntukan tersebut telah dibelanjakan untuk kuil-kuil hindu. Selain itu, Jawatankuasa Rumah Ibadat untuk agama dan kepercayaan selain Islam telah meluluskan 103 permohonan tanah untuk rumah ibadat, daripadanya 56 adalah Kuil hindu.

Selain bantuan khusus kepada rumah ibadat, bantuan kepada masyarakat india juga diberikan dalam bentuk kemudahan di sekolah Tamil yang berjumlah RM4 juta serta untuk anak-anak pekerja ladang yang berpotensi untuk mendapat pendidikan lanjutan di Kolej Teknik INPENS, milik kerajaan negeri.

Kerajaan Negeri Selangor percaya bahawa kerukunan hidup bermasyarakat perlu dipelihara dan dipertahankan. Bantuan dan kerjasama dengan masyarakat india akan terus diberikan mengikut kemampuan. Sesungguhnya perbezaan yang ada itu lumrah dan mesti disantuni dengan baik.

Di samping menyambut perayaan Thaipusam untuk membayar nazar sebagai tanda syukur bagi segala permintaan terdahulu yang telah dicapai dan untuk memohon keampunan akibat dosa dan kesalahan yang telah dilakukan, janganlah dilupakan kisah pertembungan Dewa Murugan dan Surapadman yang mengandungi falsafah bahawa kebijaksanaan dan persediaan yang cukup itu perlu untuk mengalahkan kejahatan dan pengkhianatan.

Sekali lagi, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut hari Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu.

Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim
Menteri Besar Selangor

Source: Suara Keadilan