Selangor iktiraf sumbangan Dr Muhaya

SHAH ALAM, 28 Dis: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengiktiraf sumbangan besar tokoh pembangunan minda masyarakat yang merupakan doktor mata berpengalaman, Prof Dr Muhaya Mohamad sebagai Penerima Anugerah Tokoh Ilmuan Selangor 2010.

Exco Kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali berkata, sumbangan besar tokoh ini diharapkan dapat membangkitkan suasana keilmuan dan menyambung usaha menjadikan negeri ini sebagai hub ilmu ilmuan dan pendidikan.

Dr Halimah yang juga Pengerusi  Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri berkata demikian dalam majlis Anugerah Tokoh Ilmuan Selangor, di sini pagi tadi.

“Kewujudan tokoh ilmuan wajar dirasakan oleh masyarakat dan mereka boleh mengambil manfaat besar dari keilmuan yang dimiliki tokoh berkaitan yang pakar dalam bidang mereka serta menghidupkan suasana belajar yang tinggi.

“Usaha Kerajaan Negeri Selangor yang mula melancarkan program Jejak Ilmuan pada Julai 2008 oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah berjaya menjejaki ilmuan di merata tempat dan diharapkan mereka dapat memberikan sumbangan balik kepada rakyat Selangor,” tegasnya.

Menurutnya, tokoh ilmuan wajar memberikan sumbangan mereka dalam banyak bentuk antaranya pembangunan minda, kemajuan fizikal, kaji selidik dan penemuan baharu mereka kepada rakyat negeri ini.

Dr Halimah juga melahirkan cita-cita peribadi untuk menjayakan hasrat meramaikan tunas-tunas ilmuan muda di dalam berbagai bidang di zaman moden ini sepertimana zaman dahulu yang melahirkan; sebagai contoh, ramai tokoh ilmuan agama yang pakar sains.

Sementara itu, ketika ditemui seusai majlis, Dr Muhaya melahirkan rasa yakin dengan program membangunkan modal insan yang dipelopori oleh jawatankuasa diketuai Dr Halimah, SPIES  selama ini.

Menurutnya, rakyat Selangor khasnya hendaklah mengambil pendekatan ini dengan baik dan terus menghayatinya kerana dengan SPIES yang terkandung di dalamnya lima tunggak utama dapat mengemudikan manusia ke arah positif.

Info Profesor Dr Muhaya Mohamad yang boleh didapati dengan mudah di banyak laman internet lantaran terkenal di dalam bidang kepakaran doktor mata dan terkini menjadi ikon siaran motivasi di tv khususnya Dari Mata Turun Ke Hati di Astro.

Prof Muhaya menjadi pakar perunding mata pertama di Asia Tenggara menjalankan prosedur lasik dengan mesin Vismax Femtosecond dengan kaedah termoden dan penghasilan ‘flap cornea’ dengan VisuMax adalah teknik tanpa pisau sepenuhnya.

Beliau memperoleh Fellowship dalam bidang Uveitis dari Hospital Mata Moorfields di United Kingdom pada 1998, manakala kelulusan PhD dari University of London dalam bidang Ocular Immunology.

Sebagai anak Malaysia terunggul pakar dalam bidang Uveitis, beliau yang memulakan perkhidmatan Uveitis dan terapi immunosuppressive untuk penyakit mata autoimun di Malaysia.

Kini,  Dr Muhaya dianggap pakar rujuk dalam bidang pengurusan penyakit uveitis sejak 1998 selain memberi latihan doktor pakar oftalmologi tempatan khususnya dalam bidang uveitis.

Pada 2005, Prof Muhaya dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Khas Terunggul (Special Distinguished Service Award) oleh Akademi Opthomologi Asia Pacifik (APAO) sempena Kongres APAO ke-20 yang diadakan di Kuala Lumpur.

Kini beliau adalah Perunding Pakar Bedah Mata selain menyandang jawatan Ketua Pusat Mata dan Lasik di Pusat Perubatan Prince Court; Profesor Oftalmologi di Universiti Kebangsaan Malaysia, serta Profesor Ajung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Dr Muhaya juga dipercayai sebagai Pengerusi Persatuan Doktor Mata Persatuan Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Association Ophthalmological Society).

Selain oftalmologi, Prof Muhaya mempunyai minat yang mendalam dalam menyampaikan ceramah motivasi dan sering diundang sebagai penceramah pada minggu orientasi di PCMC.

Kupasan tentang Kupasan Minda dan Perwatakan Berkesan menjadi kegemarannya dan menyampaikan isu ini dalam ceramah antaranya, kepada mahasiswa fakulti perubatan di UKM, IIUM dan USIM.

Pada 2005 beliau menerbitkan bukunya dalam bahasa Inggeris bertajuk How to become a good and successful medical student dan terkini, wajah Prof Muhaya sering kelihatan di kaca televisyen bercakap dalam banyak isu termasuk di saluran TV1, TV2, TV3 dan Astro.

Source: HarakahDaily.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>