Kuala Selangor pusat tarikan pelancong

KUALA SELANGOR, 16 Dis: Berjalan-jalan di tempat sendiri memang tidak menarik bagi kebanyakan masyarakat kita. Namun, sebenarnya negara kita terlalu banyak khazanah yang belum diterokai atau dikunjungi. Begitulah juga Kuala Selangor. Ia kurang popular. Namun bagi pelancung asing, Kampung Kuantan yang terletak di Kuala Selangor lebih dikenali berbanding Kuala Selangor sendiri.

Baru-baru ini, kami sekeluarga, dengan kerjasama hotel De Palma Kuala Selangor, berpeluang menjelajah Kuala Selangor yang dikatakan amat popular bagi pelancong asing itu. Memang benar sekali, Kuala Selangor memang penuh dengan tempat yang menarik.

Bermula dengan check in di hotel De Palma, Kuala Selangor kami sudah mula terasa kelainannya. Kami disambut oleh monyet-monyet yang bergantungan di pokok-pokok rendang dalam kawasan hotel yang berkonsepkan chalet tersebut. Chaletnya yang tersusun indah menyegarkan mata memandang.

Pada petang itu juga, berdasarkan penerangan tentang Kuala Selangor yang diberikan oleh Pengurus Pemasaran hotel itu, Encik Harun Anuar, kami ke Bukit Melawati yang dikatakan penuh dengan sejarah itu.

Pelbagai tempat menarik ada di bukit itu. Ketika kami sampai, pelbagai jenis manusia sudah berada di atas bukit itu. Tetapi yang paling menarik adalah hubungan harmoni antara pengunjung dengan sejenis monyet yang berambut punk di puncak bukit itu. Tempat-tempat sejarah tidak lagi menarik perhatian tetapi bermain dengan monyet berambut punk yang jinak itu lagi mengujakan para pengunjungnya.

(Gambar: Encik Rahmat (kiri) dan Encik Harun)

Yang menariknya juga, kerana ramai yang berminat dengan monyet yang manja itu, perniagaan barang yang menjadi makanan monyet juga menjadi satu perniagaan yang lumayan.

Menurut salah seorang peniaga makanan monyet itu, Anand, pada hujung minggu dan hari cuti umum beliau boleh menjual sehingga RM80 РRM100 makanan monyet itu. Ia hanya bermodalkan kacang panjang yang dipotong, pisang, kerepek dan lain-lain makanan monyet.  Ketika kami sampai, sekumpulan pelajar sekolah tadika berebut-rebut membeli kacang dari Anand untuk diberikan kepada monyet berambut punk itu.(gambar bawah kiri)

(Keesokan paginya, ketika kami naik sekali lagi ke bukit Melawati itu, kumpulan lain pula yang memenuhi bukit bersejarah itu. Kali ini sekumpulan pengamal Chikong sedang bersenam (gambar bawah kiri). Di samping itu, ramai juga yang naik ke bukit itu untuk berjoging sambil menghirup udara pagi yang segar yang datangnya dari muara Kuala Selangor itu.)

Dari bukit Melawati, pada malamnya, kami di bawa oleh Encik Rahmat Nawi, Pengurus hotel De Palma Kuala Selangor dan Encik Harun ke kampung Kuantan yang terletak kira-kira 10 km dari pekan Kuala Selangor. Di sana kami dibawa melihat salah satu keajaiban dunia iaitu fire fly atau klip-klip yang penuh di pokok Beremban di tebing sungai Selangor di Kampung Kuantan itu.

Dengan menaiki perahu yang memuatkan empat orang dan didayung oleh penduduk tempatan yang menjadi pendayungnya, kami dibawa melihat fire fly itu….memang ajaib sungguh.

Menurut pendayung kami yang bekerja secara separuh masa sebagai pendayung ini, setiap masa ada 30 buah perahu yang membawa pemerhati fire fly ini. Di kalangan mereka ada seorang wanita dan sebelum ini ada seorang wargatua berumur 72 tahun yang juga menjadi pendayung ini.

Selepas merasai pengalaman ini, baru kami terasa betapa tertinggalnya kita yang tidak melihat sendiri keajaiban dunia yang terletak di kawasan kita sendiri.

Pada keesokan harinya, selepas bersarapan di Rumbia Coffee House, kami dibawa pula melawat keindahan sawah padi di Tanjung Karang dan Sekincan. Di sana, kami dibawa ke rumah Wak Jailani yang sedang merewang untuk persiapan kendurinya pada keesokan hari. Rumah Wak Jailani didatangi orang dari serata dunia.

Di rumah yang terletak di tengah-tengah sawah padi inilah mereka menikmati keenakan makanan desa dan suasana sawah padi. De Palma Kuala Selangor menyediakan pakej makanan di tengah sawah ini untuk para tetamunya. Di sana mereka dijamu dengan nasi bersama lauk ikan keli, haruan, sepat dan juga pelbagai jenis ulaman.

Selepas melihat keindahan sawah di Sekincan yang hasil padinya hampir sama dengan Kedah walaupun kawasan sawahnya lebih kecil itu, kami dibawa melihat sendiri bagaimana industri desa beroperasi di Tanjung Karang. Di sini, industri membuat kerepek, baulu dan lain-lain makanan yang dibuat secara kecil-kecilan pada awalnya menjadi industri yang besar  sehingga dieksport ke Brunei dan Singapura.

Selepas penat seharian, pada sebelah malamnya kami ke Jeram menikmati ikan bakar. ia hanya 20 minit berkereta dari hotel penginapan kami. Harganya yang sangat berpatutan berbanding dengan tempat lain di samping ikannya yang segar memberikan kenangan istimewa buat kami sekeluarga.

Pendek kata, Kuala Selangor terlalu banyak tempat yang menarik untuk dilawati. Hotel De Palma pula mampu menjadi pusat aktiviti itu kerana dari hotel yang cantik ini kita boleh pergi ke mana sahaja.

Source: HarakahDaily.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>