1,000 demo mahu kawasan perumahan dihubung lebuh raya

RAWANG, 24 Okt: Lebih 1,000 penduduk Bandar Tasik Puteri, Rawang mengadakan demo dan seterusnya menyertai dialog bagi membolehkan laluan dibina untuk kawasan perumahan mereka dihubungkan dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor yang bakal siap tahun depan.

Mereka berdialog dengan pemaju AP Land Berhad, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pemegang konsesi lebuh raya itu Binapuri dan juga anggota Parlimen Selayang, William Leong.

Anggota MPS zon 24, Ahmad Zaidy Talib menganjurkan dialog ini sempena demo yang dianjurkan oleh penduduk.

Dalam demo dan dialog ini, penduduk melahir kekesalan mereka dengan kelewatan pembinaan laluan masuk ke kawasan mereka walaupun lebuhraya hanya bersebelahan dengan kawasan kediaman mereka.

Pengarah AP Land yang mewakili pemaju, Datuk Nordin Razak menjelaskan laluan itu pasti akan dibina dan fasa satu projek itu sudah bermula apabila cerucuk untuk jambatan laluan itu sudah mula dipasang.

Fasa dua iaitu membina laluan dan interchange juga telah diluluskan. Mereka akan memfailkan permohonan pengambilan tanah untuk fasa tiga iaitu membina laluan masuk dari interchange lebuh raya  ke Bandar Tasik Puteri.

“Ini kita tidak dapat tentukan bila kerana proses pengambilan tanah tidak tentu,” katanya.

Ketika BTP mula dibina akhir tahun 1990-an dahulu, pemaju menjanjikan laluan ke lebuhraya. Namun apabila lebuh raya hampir siap dibina mereka dapati tidak ada laluan ke kawasan mereka.

Penduduk BTP marah kerana mereka terpaksa menempuh kesesakan jalan setiap pergi dan balik ke kawasan perumahan ini kerana jalan masuk dan keluar menuju lebuhraya digunakan ramai penduduk dan ia sangat sempit.

Ini menyebabkan penduduk marah dan mula merancang demo hari ini. Ahmad Zaidy sebagai ahli majlis MPS yang baru dilantik beberapa bulan lalu berbincang dengan pihak-pihak berkaitan dan menganjur dialog hari ini.

Selepas dialog mereka mencapai kata sepakat, pembinaan jambatan dan terowong di bawah lebuh raya mereka siap dalam masa setahun manakala laluan ke kawasan mereka akan siap kira-kira dua tahun setengah dari sekarang.

Bagi memantaunya, satu jawatankuasa bersama yang dipengerusikan Wiliam Leong ditubuhkan untuk mempastikan projek ini berjalan mengikut jadual.

Walaupun tidak puashati kerana projek ini masih lambat siap tetapi penduduk gembira majlis dialog ini dibuat dan memberikan gambaran jelas kepada mereka tentangnya.

Source: HarakahDaily.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>